Lahad Datu, 13 Mac - Pasukan keselamatan yakin ketua kumpulan militan
yang menceroboh Lahad Datu, Azzimudie Kiram masih berada dengan
kumpulan itu yang kini berkubu di Kampung Tanjung Batu, 130 kilometer
dari bandar Lahad Datu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib yakin Azzimudie tidak pernah keluar dari kawasan berkenaan sejak pencerobohan pada 12 Feb lepas.
"Sebagai ketua dia tidak akan lari. Kami masih yakin dia bersama
kumpulan itu," katanya pada sidang akhbar bersama Panglima Satu Divisyen
Infantri Tentera Darat Mej Jen Datuk Ahmad Zaki Mokhtar di markas
operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.
Hamza berkata
keyakinan itu bersandarkan kawalan ketat pasukan keselamatan di kawasan
zon merah Operasi Daulat termasuk melalui laut kerana kawalan di laut
adalah amat kukuh dan pemantauan sentiasa dijalankan.
Selepas
sembilan hari Operasi Daulat, pasukan keselamatan menembak mati 56 musuh
dan 25 daripada mayat penceroboh militan itu telah dibawa keluar dari
zon merah.
Seramai 156 orang ditahan kerana berada di zon merah
operasi manakala 97 individu ditahan untuk siasatan kerana disyaki
terlibat dengan pengganas mengikut Akta Kesalahan Keselamatan
(Langkah-Langkah Khas) 2012 dan dibaca bersama Seksyen 130 (c) Kanun
Keseksaan, kata Hamza.
Sehingga kini 10 anggota pasukan
keselamatan terkorban iaitu lapan anggota polis dan dua tentera. Seorang
daripada anggota tentera itu terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Km
37 Jalan Lahad Datu-Kampung Tungku.
Hamza berkata tiada
pertempuran dilapor sejak malam tadi hingga pukul 10 pagi ini dan
operasi kini diperluas ke Sungai Nyamuk berhampiran Tanjung Batu.
Ditanya bila penduduk Kampung Tanduo akan pulang ke kampung mereka,
beliau berkata perkara itu belum diputuskan kerana terdapat beberapa
faktor perlu diteliti.
"Hanya ada 10 rumah di situ. Banyak
aspek perlu dipertimbangkan termasuk sama ada tanah mereka duduki adalah
milik mereka atau tidak dan taraf kerakyatan mereka.
"Pewujudan Kawasan Keselamatan Khas Sabah (ESSCOM) juga (menyebabkan)
kami harus melihat secara lebih menyeluruh bagaimana untuk menyelesaikan
masalah itu," katanya.
Mengenai kemalangan yang menyebabkan
seorang anggota tentera terbunuh, Hamza berkata kenderaan tentera tiga
tan itu yang menyertai konvoi dari Kota Kinabalu ke Lahad Datu untuk
Operasi Daulat terbabas di Km 37 Jalan Lahad Datu-Kampung Tungku pada
7.30 pagi, semalam.
Kejadian menyebabkan pengiring kenderaan
iaitu Kpl Ahmad Farhan Ruslan meninggal dunia di tempat kejadian
manakala pemandu kenderaan itu cedera. - BERNAMA
Haji Mabrur
-
[image: haji]
Tiada imbalan bagi orang yang berhaji dengan mabrur selain surga, begitulah
hadits Nabi Muhammad SAW yang sangat populer. Mabrur itu arti...
2 tahun yang lalu
0 comments:
Catat Ulasan